Suami isteri sesak nafas dalam satu kebakaran kedai di Tanjung Malim

Pasangan suami isteri mengalami kesesakan nafas akibat terhidu asap kebakaran sebuah kedai di Jalan Bunga Anggerik, Tanjung Malim, Perak pada pagi Khamis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak melaporkan menerima panggilan kecemasan kira-kira pada pukul 4.34 pagi.

Pihaknya difahamkan kebakaran tersebut melibatkan sebuah kedai pemborong makanan dua tingkat kelas A berkeluasan 20×80 terbakar 60 peratus di bahagian bawah.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Ammar Ismail menyatakan kebakaran tersebut melibatkan tiga orang mangsa.

“Terdapat tiga orang mangsa yang terlibat dalam kebakaran tersebut. Mangsa merupakan sepasang suami isteri yang berada di tingkat atas sebelum mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.

“Mangsa berjaya diselamatkan oleh anggota Bomba seterusnya dikejarkan ke hospital menggunakan jentera EMRS.

“Manakala seorang lagi mangsa, merupakan perempuan warganegara Cambodia yang berada dikedai sebelah juga turut berjaya dibawa turun dengan selamat.

“Seramai 20 orang Anggota Bomba daripada BBP Tanjung Malim dan BBP Slim River telah digegaskan ke lokasi kejadian berserta 2 jentera FRT dan 2 kenderaan unit EMRS sebaik sahaja menerima panggilan,” jelasnya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Ujarnya lagi, pasukan bomba telah melaksanakan ‘size up’ serta mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan) dengan menggunakan aliran air dari tangki jentera Bomba sehingga operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 6.18 pagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat