Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup dua premis dan mengeluarkan tujuh kompaun pelbagai kesalahan terhadap premis pelacuran menerusi Operasi Tindakan Khas Pusat Urut di sekitar Kuala Lumpur, pada Khamis.
DBKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, operasi itu dijalankan melalui Jabatan Penguatkuasaan.

Katanya, hasil daripada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, tujuh notis kompaun dikeluarkan ke atas premis yang melakukan pelbagai kesalahan.
Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 79(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, UUK 3(1) dan UUK 20(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta UUK 5(1), UUK Iklan (WP) 1982 ke atas premis yang melakukan kesalahan.
“Selain itu, dua premis yang tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dikenakan tindakan tutup serta-merta di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya.
Katanya, semua barangan yang berkaitan dengan perniagaan juga turut disita dan dihantar serta disimpan di stor Jalan Lombong, Cheras, Kuala Lumpur.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti,” katanya.
Untuk sebarang aduan, orang ramai boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di http://adukl.dbkl.gov.my.
Baca juga: