Nasional

KPDN panggil 10 syarikat umum kenaikan harga

Sebanyak 10 syarikat yang mengumumkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan dipanggil untuk memberi penjelasan berkaitan kewajaran tindakan terbabit.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 terhadap tiga syarikat masing-masing sektor pengangkutan dan pembinaan serta empat lagi dari sektor minuman dan sewaan jentera.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, empat syarikat terlibat telah diluluskan permohonan fleet card tetapi telah mengeluarkan notis bagi kenaikan barang dan perkhidmatan.

“Dua syarikat telah dipanggil semalam (Khamis) dan selebihnya akan menyusul mengikut jadual.

“Baki enam syarikat lagi mempunyai kenderaan yang tidak termasuk dalam senarai Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, setiap syarikat diminta untuk memberikan perincian maklumat termasuk dokumen berkaitan penawaran perkhidmatan atau penjualan barangan bagi tujuan penyediaan analisis pencatutan.

“Kegagalan untuk menghadirkan diri juga boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 Akta 723 tersebut,” jelasnya lagi.

Jelas Armizan, amaran diberikan kepada semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan dengan elemen pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan.

Justeru, mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga akan dikenakan tindakan yang tegas di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian terutamanya di bawah Akta 723.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close