JIM tumpaskan sindiket penyeludupan PATI di Kelantan 

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpas sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi khas yang dijalankan pada pukul 5.20 pagi 10 Jun lalu di Kubang Kerian dan Lembah Sireh dekat Kota Bharu, Kelantan. 

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya telah menahan dua lelaki warga tempatan serta 33 PATI.

“Kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 11 orang warganegara Thailand, tujuh orang warganegara Myanmar, 12 orang warganegara Bangladesh, dua orang warganegara India dan seorang warganegara Indonesia yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun.

“Selain itu, pihak JIM turut menahan dua orang warganegara tempatan yang disyaki telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. 

Dalam pada itu, Ruslin turut menyatakan pihak JIM juga berjaya mengesan perubahan modus operandi sindiket berkenaan. 

“Sindiket merekrut penunggang motosikal untuk membawa keluar PATI dari rumah transit ke terminal ekspres. 

“Taktik ini dipercayai dapat mempercepatkan pergerakan PATI ke destinasi di luar Kelantan tanpa dikesan oleh pihak penguasa,” ujarnya. 

Pihak JIM turut menegaskam bahawa tindakan penguatkuasaan sebegini akan diteruskan lagi bagi mengekang aktiviti penyeludupan migran daripada terus berleluasa dalam negara. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat