Nasional

LLM jangka 2.52 juta kenderaan di lebuh raya utama menjelang Aidiladha

Jumlah kenderaan berada di lebuh raya utama dijangka mencecah sehingga 2.52 juta pada hari-hari puncak sempena perayaan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Isnin ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam satu kenyataan berkata, penambahan jumlah kenderaan dijangka berlaku secara berperingkat bermula semalam sehingga 18 Jun.

“Daripada jumlah tersebut, purata trafik di lebuh raya di bawah Kumpulan PLUS Berhad dijangka mencapai sehingga 2.2 juta kenderaan manakala di Lebuhraya KL Karak, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) masing-masing mencecah sehingga 181,000 dan 60,000 kenderaan setiap hari sepanjang tempoh ini,” katanya.

Menurut LLM, pihaknya bersedia sepenuhnya dan mengambil langkah mengikut keperluan demi memastikan kelancaran trafik di semua lebuh raya utama seluruh negara termasuk menghentikan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong bermula 12 hingga 19 Jun ini, kecuali kes kecemasan.

Selain itu, LLM dan syarikat konsesi mengaktifkan 20 lokasi laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti di Lebuhraya PLUS bermula Jumaat hingga Selasa depan selain laluan ‘tidal flow’ di Lebuhraya KL-Karak pada 18 Jun bagi mengurangkan kesesakan.

“Memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik dan mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol di beberapa plaza tol yang dikenal pasti mempunyai trafik tinggi.

“Memastikan syarikat konsesi menyediakan anggota Emergency Response Team (ERT) yang cukup bagi mempercepatkan tempoh tindakan untuk menangani sebarang insiden yang berlaku di lebuh raya dan menyediakan kemudahan tambahan letak kereta, tandas mudah alih di beberapa Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan, Lebuhraya KL Karak, LPT1, LPT2.

“Meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air serta bekalan minyak di stesen dengan mendapatkan kerjasama pengusaha pembekal demi keselesaan pengguna,” jelasnya.

Dalam pada itu, LLM menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan dengan merujuk aplikasi MyPLUS-TTA bagi mendapatkan cadangan waktu pergerakan.

“Memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan; memastikan baki kad touch n go dan e-wallet mencukupi; pengguna yang melalui jajaran yang terlibat ‘smart lane’ boleh menggunakan bahu jalan sebagai laluan alternatif Ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yang disediakan.

Justeru, bagi penunggang motosikal dinasihatkan supaya berhati-hati menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya dan berteduh di kawasan yang telah disediakan semasa cuaca buruk.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close