Aliran trafik di lebuh raya utama menghala keluar dari Lembah Klang dilaporkan terkawal oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada pagi Ahad.
Kenyataan tersebut susulan warga kota yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 17 Jun, Rabu.
Menurut jurucakap LLM, setakat 10 pagi ini, kenderaan dilaporkan kian meningkat di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) namun pergerakan trafik masih dalam keadaan yang lancar.
“Beberapa laluan Smartlane telah diaktifkan untuk memudahkan perjalanan pulang perantau-perantau ke kampung halaman mereka.
“Laluan terbabit termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Kilometer 0.4 hingga Kilometer 6.0 arah Utara dari Pandan ke Kempas, Kilometer 4.5 hingga Kilometer 1.9 arah Selatan dari Setia Tropika ke Pasir Gudang dan Kilometer 280 hingga Kilometer 276 ke arah arah Selatan dari Bandar Baru Nilai ke Bandar Ainsdale.
“Selain itu, terdapat juga dua kemalangan di KM438.6 arah Selatan dari Sungai Buaya ke Rawang dan KM407.6 arah Selatan dari Lembah Beringin ke Bukit Tagar, namun tiada lorong terhalang dan tidak menyebabkan sebarang kesesakan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol PLUSLine 1-800-88-0000 dan laman X @plustrafik atau talian LLM 1-800-88-7752 serta laman X @llmtrafik.
Baca juga :