Hiburan

BDS Malaysia kecewa dengan keputusan Siti Nurhaliza

Satu organisasi gerakan Boikot, Lupus (Divestment) dan Sekat (Sanctions) iaitu BDS Malaysia telah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Siti Nurhaliza telah terlibat dalam satu pertunjukan yang berjudul, Hitman Returns – David Foster and Friends di Indonesia pada Sabtu.

Menerusi laman Facebook BDS Malaysia, pertunjukan tersebut dianjurkan oleh penggubah terkenal, David Foster yang berasal dari Kanada.

“Beliau juga adalah salah seorang yang sangat kuat menyokong rejim Zionis Israel.

“Beliau sering terlibat dalam usaha menyumbang dana kepada tentera rejim Zionis Israel dalam acara yang dianjurkan oleh ‘Friends of Israel Defences Forces’ (FIDF),” katanya menerusi satu kenyataan.

Sejak 7 Oktober tahun lalu, lebih daripada 36,000 rakyat Palestin telah dibunuh dengan kejam oleh tentera rejim Zionis Israel.

Malah, sehingga kini pembunuhan secara tidak berperikemanusiaan itu berpanjangan di Gaza dan Tebing Barat.

”Keputusan Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk menyertai pertunjukan yang dianjurkan David Foster adalah sangat mengecewakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, BDS Malaysia berharap kepada semua pihak, sama ada artis, ahli perniagaan, ahli sukan, pihak kerajaan dan rakyat biasa menunjukkan sikap yang lebih peka terhadap kesengsaraan yang dialami oleh rakyat Palestin semenjak tahun 1948 lagi.

”Tindakan minima yang boleh dilakukan ialah memboikot rejim Zionis Israel serta organisasi dan individu yang terlibat secara langsung dengan kezaliman yang berlaku di Palestin,” jelasnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close