Negeri

Semua elemen kepolisan digerakkan, banteras kes jenayah di Penampang

Semua elemen kepolisan digerakkan bagi menjayakan Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Penampang yang diadakan pada Sabtu.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Polis Daerah Penampang, objektif utama OBMJ dilaksanakan adalah bagi menunjukkan kehadiran polis (Omnipresence) di kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya jenayah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Polis Erwansyah Abd Basir berkata, dua sekatan jalan raya telah didirikan Jalan Sailan Imbahan, Ulu Putatan berhadapan Platium Apartment dan Jalan Kota Kinabalu berhadapan SMK Bahang.

”Pasukan rondaan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung turut dilakukan bagi mencegah kejadian jenayah terutamanya kes pecah rumah serta curi kenderaan.

”Premis-premis hiburan di sekitar Daerah Putatan dan Penampang turut diperiksa,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Selain daripada pencegahan kes jenayah, pihak polis mendekati masyarakat setempat dalam memudahkan penyampaian dan perkongsian maklumat jenayah serta persepsi ‘fear of crime’.

Menurut Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, secara keseluruhan seramai 67 lelaki serta 20 wanita telah diperiksa dan 38 keping saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

”Dalam pada itu, pihak polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

”Suspek disyaki memiliki dadah Methamphetamine sebanyak 0.13 gram dan turut merampas sebuah motosikal curi yang ditinggalkan di tepi jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, operasi tersebut akan diteruskan dari masa ke semasa supaya usaha itu akan meningkatkan rasa selamat orang ramai dengan kehadiran pihak polis.

Difahamkan, operasi berkenaan melibatkan seramai sembilan Pegawai Kanan Polis dan 34 anggota polis lain-lain pangkat yang diketuai oleh Erwansyah Abd Basir.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close