Nasional

Ramai yang keliru, terdapat dua hukum pembahagian daging korban

Ibadah Korban merupakan salah satu amalan sunat yang sangat dianjurkan dalam Islam dan ia hanya dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq (hari raya orang lakukan haji).

Ibadah korban bermaksud penyembelihan binatang ternakan tertentu pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijjah) dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Selain itu, ibadah tersebut merupakan satu peringatan buat umat Islam akan ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang bersedia mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS atas perintah Allah SWT.

Menurut penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum melakukan ibadah korban ialah sunat muakkad dan sunat kifayah.

“Sunat Muakkad bermaksud sekiranya seseorang itu mempunyai lebihan harta dari keperluan dirinya dan keluarga yang ditanggungnya pada siang hari raya haji dan malamnya serta hari-hari tasyriq tetapi dia tidak melakukan korban maka hukumnya adalah makruh.

”Manakala, Sunat Kifayah sekiranya isi rumah lebih dari seorang dan mereka adalah di bawah tanggungan wajib salah seorang dari mereka.

”Maka, jika korban dilakukan oleh salah seorang dari mereka yang mukallaf (orang yang dipertangunggjawabkan) maka gugur tuntutan dari yang lain dan gugur hukum makruhnya. 

”Namun pahala korban hanya akan diperoleh oleh orang yang melakukan korban melainkan sekiranya dia meniatkan pahala untuk orang yang lain,” katanya menerusi kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Namun begitu, masih menjadi persoalan berkenaan dengan hukum pembahagian daging korban sebelum mahupun selepas sesi penyembelihan dilakukan.

Pembahagian daging korban terbahagi kepada dua jenis, iaitu sembelihan korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat.

Korban nazar adalah wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin, dan haram bagi pihak orang yang berkorban memakan daging korbannya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.

Manakala bagi korban sunat, satu per tiga daging untuk dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarganya; satu per tiga daging lagi untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin; dan satu per tiga untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Dalam pada itu, pembahagian daging korban turut terbahagi mengikut status hukum yang sepatutnya sebelum diagihkan kepada fakir miskin mahupun orang-orang yang terlibat dalam pembahagian daging tersebut.

Berikut merupakan hukum berkaitan daging korban terbahagi kepada beberapa status seperti:

1. HARAM

Memakan daging bagi orang yang melakukan korban nazar (wajib) dan juga ahli keluarga di bawah tanggungannya walaupun sedikit sebagaimana juga haram memberikan daging korban tersebut kepada orang bukan Islam. 

2. HARAM

Hukum pemberian daging korban sunat kepada orang bukan Islam adalah haram menurut pandangan ulama mazhab Syafi’i. 

3. TIDAK DIKHUSUSKAN

Bahagian atau anggota sembelihan korban tidak harus dikhususkan kepada tukang sembelih sebagai upah melakukan sembelihan, kecuali bahagian atau anggota tersebut diberikan oleh individu yang melakukan korban.

4. SUNAT

Sunat bagi individu yang melakukan korban sunat (tatawu’) memakan daging korbannya.

Secara keseluruhannya, ibadah korban membawa banyak hikmah termasuk mengingatkan umat Islam akan kepatuhan dan pengorbanan, menyucikan diri dan harta, serta mempereratkan silaturrahim melalui pembahagian daging korban kepada fakir miskin dan jiran tetangga.

Semoga kita menjadi hamba Allah SWT yang baik dengan menerapkan hukum yang betul dan sahih agar diredhai dan mendapat pahala.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close