Nasional

Subsidi tidak dihapuskan, Kerajaan tanggung RM7 bilion

Kerajaan bertegas subsidi diesel tidak dihapuskan malah negara masih menanggung sekitar RM7 bilion diesel di Semenanjung Malaysia. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, apa yang dilakukan adalah memastikan pengurusan subsidi yang lebih cekap, tidak tiris dan sampai kepada kumpulan rakyat yang selayaknya.

“Tujuan utama dalam dasar penyasaran subsidi diesel ini adalah memastikan pembaziran subsidi tidak lagi diteruskan sambil memastikan penjimatan mesti dipulangkan kepada rakyat terbanyak.

“Hasil penjimatan daripada penyasaran subsidi ini tentunya akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam dan lain-lain sektor yang memberi dampak terbesar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menggerakkan Ops Tiris sejak 1 Mac lalu yang bertujuan bagi membanteras permasalahan penyelewengan minyak diesel bersubsidi tatkala ia memanfaatkan pihak yang tidak layak.

“Sehingga 31 Disember tahun lalu, sebanyak 6,441,118 liter minyak diesel dianggarkan berjumlah RM14,208,824 dirampas.

“Atas hasil dan perkembangan yang baik dari ops ini, maka Ops Tiris 3.0 dijalankan dengan skop yang diperluas mencakup barang-barang kawalan lain iaitu gula putih bertapis (kasar dan halus), minyak masak bungkusan polibeg satu kilogram (kg), petrol RON95 dan gas petroleum cecair (LPG).

“Sehingga 14 Jun lalu, sejumlah RM12,956,089.96 nilai barang kawalan dirampas dengan diesel menjadi barangan kawalan yang tertinggi yang diseludup dan diseleweng,” katanya. 

Katanya, kerajaan Madani akan kekal komited menangani penyeludupan diesel sambil berusaha mengimbanginya dengan perihal bekalan dan kos sara hidup rakyat.

Anwar berkata, selain itu, kerajaan masih mengekalkan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol pada harga RM6.90 (1kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara walaupun harga minyak sawit mentah (CPO) dunia meningkat melebihi harga ambang RM3,890 juta tan (mt). 

“Sebagai contoh dengan harga CPO pada bulan Mac RM4,215/mt dan April RM4,256/mt, harga minyak masak sawit tulen 5 kg boleh meningkat sehingga RM33 hingga RM35.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close