Pelaburan tidak wujud, warga tempatan rugi RM185,500

Seorang penolong pengurus ladang mengalami kerugian RM185,500 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan menawarkan skim pelaburan tidak wujud atas talian pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa berusia 59 tahun itu melayari satu pautan tawaran pelaburan di Facebook dan kemudia disambungkan ke aplikasi WhatsApp.

Jelasnya, mangsa berhubung dengan suspek dan menyatakan minat untuk menyertai peaburan tersebut.

“Suspek meyakinkan mangsa dan memberi penerangan serta informasi untuk memulakan pelaburan tersebut dengan hanya menggunakan WhatsApp.

“Bermula 26 April hingga 6 Jun 2024, sebanyak 13 transaksi pemindahan wang kepada enam akaun bank berbeza dilakukan oleh mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya jumlah keseluruhan untuk kesemua transaksi pemindahan wang yang dilakukan bernilai RM185,500.

“Awalnya, mangsa dijanjikan dengan pemulangan keuntungan sehingga 400 peratus dari modal pelaburan dan membuatkan mangsa secara melulu membuat pemindahan wang bagi memperoleh keuntungan yang lebih banyak.

“Mangsa kemudian berasa ditipu apabila tidak menerima apa-apa euntungan dan diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM160,000 lagi,” katanya.

Bahrin berkata, susulan kejadian pihak polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis juga menasihati orang ramai agar tidak mempercayai apa jua pelaburan yang menjanjikan pulangan yang berlipat-kali ganda dalam tempoh yang terlalu singkat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat