Jenayah

Polis buru 4 lelaki bertopeng, bersenjata samun kedai emas di Plaza Metro Kajang

Satu kejadian rompakan telah berlaku dipercayai melibatkan empat orang lelaki memakai topeng dan bersenjata di sebuah kedai emas dalam bangunan Plaza Metro Kajang pada Isnin.

Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang telah menerima panggilan kecemasan daripada seorang saksi yang merupakan seorang lelaki berbangsa Cina.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohamad Nasir Drahman berkata, hasil siasatan dan tindakan awal pihak polis mendapati kejadian tersebut berlaku pada pukul 3.17 petang.

“Empat orang suspek yang memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng serta bersarung tangan gelap telah masuk ke premis berkenaan di tingkat satu bangunan tersebut dan terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi lalu mengambil barang kemas.

“Dipercayai, suspek turut membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang serta telah melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan.

“Jumlah kerugian masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan. Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan dan beberapa orang saksi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut, boleh terus hubungi mana-mana balai yang berdekatan atau dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Komisioner Polis, Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close