Perdana Menteri China Li Qiang, yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya pada Rabu.
Li Qiang, yang tiba di Malaysia untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lalu.
Lawatan beliau disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba pada pukul 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.
Li kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.
Turut hadir, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau dan Li Qiang mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.
Jelasnya, mereka juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.
“Saya dan Premier Li terus mengadakan pertemuan tertutup di pejabat bagi membincangkan kemajuan serta perkembangan kerjasama dua hala antara Malaysia dan China.
“Seperti yang pernah ditegaskan sebelum ini Malaysia komited untuk memupuk hubungan penting ini demi kemakmuran rakyat dan seluruh rantau,” katanya.
Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.
Untuk info, Li Qiang tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.44 malam Selasa.
Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (AS$98.90 bilion).
Baca juga: