Negeri

Guna kad akses untuk aktiviti simpan dan jual dadah

Taktik menggunakan kad akses bagi membuka satu ruang khas di bahagian kerusi penumpang sebuah kereta membongkar kegiatan penyimpanan dan penjualan dadah di sekitar Lembah Klang.

Taktik digunakan seorang ‘tokan’ dadah berusia 36 tahun bagi mengaburi pihak polis sekiranya ditahan untuk pemeriksaan tidak berjaya apabila suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Puchong, Selangor pada Isnin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati lelaki warga tempatan menjadikan rumah dua tingkat tersebut sebagai stor penyimpanan dan proses pembungkusan dadah yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran.

“Dalam operasi khas dilaksanakan pada jam 12 tengah hari Isnin, pihak polis menemukan 71 bungkusan plastik mengandungi dadah dipercayai jenis ketamin seberat 73.1 kilogram (kg).

“Selain itu, polis turut menemukan 300 bungkusan plastik yang mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 308kg.

“Kesemua dadah yang dirampas ini dianggarkan bernilai RM13.5 juta dan boleh menampung keperluan 1.8 juta orang penagih,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kenderaan yang digunakan oleh suspek, Kok Chin berkata, tempat penyimpanan khas di kerusi penumpang itu dipercayai mampu menyimpan sekitar 80kg dadah dalam satu-satu masa.

Kata beliau, jika mengikut spesifikasi asal kerusi penumpang kereta itu tidak boleh ditarik, namun modifikasi telah dibuat bagi membolehkan dadah disimpan di bahagian tersebut.

Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, katanya, but kereta jenis Hyundai Sonata itu dipenuhi dengan alat pembesar suara.

“Selalunya pemeriksaan akan dibuat pada bahagian but kereta, tetapi ruang itu telah dipenuhi dengan pembesar suara.

“Ini bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa semasa proses pemeriksaan dijalankan,” ujarnya.

Kok Chin berkata, suspek dipercayai bergiat aktif pada awal tahun ini dan telah empat kali membuat penghantaran dadah di sekitar Lembah Klang.

Tambahnya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing adalah negatif.

Menurutnya, suspek menerima upah sebanyak RM6,000 bagi proses membungkus dan mengedar dadah.

Katanya, polis ketika ini mencari individu menyewa rumah dua tingkat di Puchong itu bagi dijadikan stor penyimpanan dadah.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline JSJN di talian 012-2087222,” ujarnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close