NasionalPolitik

Kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula hari ini

Kerusi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dikosongkan ekoran menerima satu notis bertulis mengikut fasal (3) perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan pada 13 Jun 2024.

Speaker Dun Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memaklumkan perkara tersebut pada sesi sidang media yang berlangsung di pejabatnya, pagi tadi.

“Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengenai keahlian ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada partinya pada 13 Jun lalu.

“Maka dengan ini saya mengisytiharkan menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili Mohd Azizi.

“Menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan,” katanya.

Pengumuman itu sekaligus menoktahkan isu mengenai kerusi DUN terbabit selepas Adun Bersatu, Mohd Azizi itu mengikrarkan sokongan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, enam ahli parlimen dan seorang ADUN Bersatu dilaporkan turut kehilangan keahlian.

Ahli Parlimen tersebut terdiri daripada Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga ADUN Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Manakala, seorang lagi ialah ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Punca pengguguran adalah disebabkan mereka gagal memberi sebarang jawapan dan maklum balas berkenaan surat arahan yang ditulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bagi melakukan ikrar taat setia kepada parti tersebut.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close