GlobalNasional

RRC kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun ke-15

Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) berjaya memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi sempena Lawatan Rasmi Perdana Menteri RRC, TYT Li Qiang ke Malaysia pada 18 hingga 20 Jun 2024.

Pertukaran MoU tersebut telah dilaksanakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Duta Besar China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan TYT Perdana Menteri RRC.

Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) , MoU tersebut merupakan inisiatif lanjutan daripada Perjanjian dalam Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan RRC pada 4 Oktober 2013.

Dalam masa sama, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, jalinan kerjasama itu penting untuk mencerminkan komitmen dalam memperkukuhkan hubungan dua hala.

Chang Lih Kang berkata, perdagangan dan pelaburan telah menjadi asas utama hubungan antara Malaysia dan RRC.

“Sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia, RRC kekal sebagai rakan dagang penting yang mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

“Pada tahun 2023, RRC kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia untuk tahun yang kelima belas sejak tahun 2009 dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain itu, langkah tersebut adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi tumpuan strategik kepada pertumbuhan ekonomi ke arah pembangunan industri yang dipacu inovasi dan melibatkan aktiviti-aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi.

Menerusi kerjasama dua hala antara Malaysia dan RRC yang melibatkan peningkatan kapasiti dan kepakaran dalam pelbagai industri STI.

Justeru itu, ia bakal menyumbang kepada pemerkasaan bakat berpengetahuan dan berkemahiran tinggi yang mampu memacu pembangunan industri strategik berimpak tinggi dalam negara.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close