Negeri

Tuntutan 40 peratus hasil Sabah perlu diselesaikan secepat mungkin

Isu Perlembagaan berkaitan tuntutan 40 peratus hasil yang dipungut oleh kerajaan Persekutuan di Sabah perlu diselesaikan sepenuhnya berdasarkan merit dalam perbicaraan substantif di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Penasihat Undang-Undang Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh menyatakan pendirian tersebut telah disahkan oleh Peguam Besar Negeri Sabah dan dirinya sendiri di Mahkamah Rayuan.

Penjelasan tersebut turut diberi sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung rayuan Peguam Negara pada Selasa, terhadap kebenaran semakan kehakiman berkaitan isu 40 peratus yang diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 11 November 2022.

“Pihak kami tidak menyokong rayuan yang dibuat oleh pihak Jabatan Peguan Negara Persekutuan (FAGC) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan kebenaran kepada SLS.

“Kerajaan Negeri Sabah akan didengar sebagai pihak dalam prosiding di Mahkamah Tinggi kerana ini merupakan kepentingan perlembagaan yang tinggi seperti yang dinyatakan oleh pihak Mahkamah Rayuan (COA),” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Rayuan Sabah membuat keputusan menolak rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran diberi Mahkamah Tinggi kepada SLS untuk membuat semakan kehakiman berhubung kelayakan Sabah mendapatkan 40 peratus hasilnya.

Keputusan didengar secara dalam talian semalam, selepas Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan sejurus selesai mendengar hujahan semua pihak dalam kes rayuan berkenaan pada 16 Mei lalu.

Ia sekali gus memberi laluan kepada pihak SLS meneruskan usaha mewakili rakyat Sabah untuk mendapatkan hak negeri melalui semakan kehakiman terhadap perkara berkaitan dengan pengembalian 40 peratus hasil dikutip kerajaan persekutuan di negeri ini.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close