Wanita warga emas rugi sebanyak RM584,000, ditipu penyamar pegawai NSRC

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM584,000 selepas menjadi mangsa penipuan penyamaran talian dari suspek yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu melaporkan mangsa merupakan seorang wanita berusia 70 tahun yang menerima panggilan tersebut pada awal Mei lalu.

“Melalui panggilan telefon tersebut, suspek menyatakan bahawa mangsa mempunyai rekod terlibat dengan jenayah penipuan namun mangsa menafikan penglibatan tersebut.

“Mangsa kemudiannya mengikut arahan suspek untuk meletakkan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya di lokasi yang diarahkan berserta nombor pin kad tersebut.

“Mangsa turut diarahkan untuk memindahkan wang dari beberapa akaun simpananannya yang lain ke akaun kad ATM tersebut sehingga berjumlah hampir RM600,000 atas tujuan siasatan pegawai NSRC itu,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kemudiannya bertindak membuat laporan polis setelah membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati wang yang diserahkan telah berkurangan sebanyak RM584,000.

M. Kumar menyatakan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama kurang daripada setahun dan tidak lebih dari 10 tahun berserta sebatan.

Pihak polis turut mengingatkan orang ramai bahawa NSRC merupakan pusat panggilan berbentuk komunikasi sehala sahaja dan pegawai mereka tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu.

Sekiranya mangsa dihubungi oleh individu yang menyamar sebagai pegawai NSRC, mereka dinasihatkan untuk menghubungi talian 997 dengan kadar segera agar peluang untuk mereka ditipu lebih tipis.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat