Nasional

100,000 permohonan subsidi diesel telah diluluskan setakat ini – Amir Hamzah

Kementerian Kewangan sudah meluluskan sebanyak 100,000 permohonan bantuan tunai subsidi diesel di bawah inisiatif Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel individu (Budi individu) serta petani dan pekebun kecil (Budi Agri-Komoditi).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melalui satu kenyataan pada Rabu berkata, matlamat penyasaran subsidi diesel adalah untuk menumpukan bantuan kepada sektor yang layak dan golongan masyarakat yang memerlukan.

“Bantuan tunai yang ditetapkan pada RM200 sebulan adalah untuk menampung perbelanjaan tambahan diesel bagi lebih 80 peratus pemilik kenderaan diesel individu,” katanya.

Inisiatif Budi Madani dan Budi Agri-Komoditi merupakan mekanisme bagi mengagihkan subsidi diesel secara bulanan kepada rakyat yang layak.

Ia dilaksana susulan langkah kerajaan menyasarkan semula pemberian subdisi bahan api itu bagi mengelak ia diseleweng atau dinikmati golongan kaya dan warga asing.

Kementerian kewangan menganggarkan seramai 300,000 pemilik kenderaan diesel persendirian individu di Semenanjung Malaysia layak untuk menerima Budi individu manakala hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada Budi Agri-Komoditi.

Setakat kini, seramai 30,000 pemohon telah menerima bayaran bantuan tunai pada 10 Jun lalu diikuti oleh 46,000 pemohon yang menerima bayaran pada 19 Jun.

“Bagi mereka yang membuat permohonan sebelum hujung bulan Jun ini, pemohon akan menerima bayaran pada awal Julai ini,” jelas Amir.

Pada masa sama Amir memaklumkan pemohonan individu yang gagal boleh mengemukakan rayuan di laman sesawang https://budimadani.gov.my.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close