Peniaga rugi RM304,200 selepas jadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian

Seorang lelaki warga tempatan mengalami kerugian berjumlah RM304,200 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian di Kulai, Johor.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee menyatakan mangsa berusia 54 tahun tersebut bekerja sebagai seorang peniaga.

“Mangsa melayari aplikasi Facebook dan menjumpai iklan mengenai pelaburan mata wang kripto dan menerima keterangan daripada suspek setelah mangsa berhubung dengannya.

“Pelaburan tersebut menjanjikan keuntungan dalam masa yang singkat dan mangsa diarahkan untuk memuat turun aplikasi pleaburan kripto tersebit untuk memantau pelaburan yang dibuat.

“Mangsa telah membuat pelaburan pada bulan Mac hingga Mei dengan memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank atas arahan suspek hingga mencecah jumlah RM304,200,” katanya dalam kenyataan.

Tan turut menyatakan mangsa mendapati pelaburannya telah mencatatkan keuntungan namun gagal untuk menghubungi suspek ketika memutuskan untuk mengeluarkan wang keuntungannya.

Setelah menyedari dirinya telah ditipu, mangsa membuat keputusan untuk membuat laporan polis mengenai pelaburan tersebut.

Tambahnya, kes tersebut disiasat dibawah kesalahan tipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dengan tempoh tidak kurang daripada setahun dan tidak lebih dari 10 tahun berserta sebat dan denda.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai untuk tidak terpedaya dengan tawaran pelaburan menjanjikan keuntungan dalam masa yang singkat di media sosial dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa transaksi yang meragukan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat