Negeri

Wanita maut dalam kemalangan di Lebuhraya WCE

Seorang wanita maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di kilometer (KM) 228 arah utara Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Ayer Tawar, Perak pada awal pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah menyatakan mangsa merupakan seorang wanita berusia 51 yang memandu kenderaan jenis Proton X50.

“Mangsa dipercayai telah melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang dipandu oleh lelaki berumur 34 tahun.

“Disebabkan pelanggaran tersebut, pemandu itu telah hilang kawalan dan terbabas hingga melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Nordin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala, pemandu lori berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan di Balai Polis Daerah Manjung.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close