Negeri

2 wanita cedera, bas ekspres dinaiki terbabas ke dalam gaung di Lahad Datu

Dua wanita cedera parah apabila bas ekspres dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di KM 13, Jalan Lahad Datu – Tawau, Sabah pada pukul 9.11 malam hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail memaklumkan bas tersebut membawa seramai 18 orang penumpang keseluruhannya.

”Dua orang wanita berusia 22 tahun dan 36 tahun mengalami cedera parah manakala 16 penumpang lain pula mengalami cedera ringan.

”Pemandu dan kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut menggunakan ambulans dan kenderaan pihak bomba,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, pihak polis turut mengambil sampel darah pemandu bas yang berusia 37 tahun itu untuk tujuan ujian alkohol dan dadah.

Dzulbaharin turut menambah kemalangan tersebut disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan tersebut untuk tampil membantu siasatan di Balai Polis Lahad Datu.

Pihak polis turut menasihati orang ramai khususnya pengguna jalan raya untuk berhati-hati ketika dalam perjalanan untuk mengelakkan kemalangan yang tidak diingini daripada berlaku.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close