Nasional

Khairy jangan hipokrit, perlu lebih bertanggungjawab dałam isu BlackRock – Kamil

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim mempersoalkan sikap penyampai radio Hot FM, Khairy Jamaluddin berhubung isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan Malaysia Airport Holding Bhd (MAHB).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kamil menempelak sikap Khairy dalam isu tersebut dan menyifatkan bekas ahli UMNO itu hipokrit kerana BlackRock memiliki sebahagian saham dalam syarikat CGS Securities yang mana bekas menteri itu dilantik sebagai pengarah.

“Apakah Khairy juga pura-pura tidak tahu bahawa Blackrock telah berada dalam pasaran bursa negara sejak tahun 1990 dan kini merupakan pemegang saham kedua terbesar di bursa Malaysia? Dan adakah pengasas Blackrock Larry Fink hanya menjadi zionis pasca 7 Oktober dan sebelumnya beliau adalah seorang wahabi?

“Apakah Khairy lupa bahawa syarikat CGS Securities yang mana beliau dilantik sebagai pengarah, sebahagian saham syarikat induknya juga dimililki oleh Blackrock? Hipokrasi jenis apakah yang cuba ditonjolkan oleh Khairy?

“Beliau boleh kritik, tetapi dalam masa yang sama harus lebih bertanggungjawab dan tidak hipokrit. Kerajaan ini tidak pernah mempertahankan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan rejim zionis Israel,” katanya.

Kamil dalam kenyataannya juga menasihatkan Khairy agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan serta tidak terbawa-bawa dengan emosi.

“Pendirian PM dan kerajaan dalam isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas. Dan kita adalah yang paling lantang dalam mempertahankan dan membela nasib rakyat di Palestin. Justeru menggelar PM sebagai rakan subahat zionis Israel dalam jenayah genosid adalah melampau dan biadap,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan BlackRock memiliki pegangan dalam Malaysia Airports MAHB.

Beliau turut menekankan BlackRock adalah syarikat senaraian awam dan tidak dimiliki rakyat Israel.

Pada Jumaat, GIP menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Related Articles

Check Also
Close