Seorang lelaki warga tempatan mengalami kerugian sebanyak RM217,000 selepas tertipu dengan tawaran pelaburan tidak wujud menerusi laman web kripto member.101quantum.com.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang berusia 54 tahun itu tertarik dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan sebanyak 20 peratus daripada modal yang dilaburkan.
“Mangsa mendapat tahu mengenai laman web tersebut melalui kenalannya yang ditemui melalui aplikasi My Jodoh.
“Berminat dengan tawaran tersebut, mangsa kemudiannya membuat pemindahan wang kedalam tiga akaun berbeza secara berperingkat sehingga mencecah jumlah RM217,000,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Namun, mangsa gagal untuk mengeluarkan semua keuntungan wang tersebut dan suspek memberitahu mangsa bahawa akaun kripto miliknya telah disekat.
“Suspek memberitahu mangsa sekiranya ingin membuka sekatan akaun tersebut, mangsa perlu membayar RM225,000 lagi namun mangsa tidak melakukan transaksi tersebut kerana mulai berasa curiga.
“Setelas merasakan dirinya telah ditipu, mangsa bertindak melaporkan kes tersebut kepada pihak polis dan kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.
Dalam pada itu, pihak polis menyeru orang ramai untuk tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan untuk mengelakkan diri mereka dari menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud yang seterusnya.
Baca juga: