Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Pbt Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim telah didapati hilang ketika sedang bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak.
Ketiadaan anggota dikesan pada 18 Jun 2024 lebih kurang pukul 12 tengah hari, ketika Ketua Kumpulan mendapati anggota tiada diposisi belakang kumpulan.
Menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi Tentera Darat Malaysia, kejadian berlaku pada kedudukan dijarak 2 kilometer di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600.
“Usaha mencari dan mengesan anggota telah segera dilaksanakan oleh kumpulan tersebut yang terdiri daripada dua anggota TDM dan lima anggota JUPEM, namun gagal menemui anggota.
“Selain itu, pencarian juga telah dipergiatkan oleh TDM mulai 19 Jun 2024 di kawasan tersebut dengan melibatkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Agensi Awam lain yang dikoordinasikan oleh MKN iaitu PDRM dan BOMBA,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga telah mengaturgerakan aset mereka dalam membantu usaha pencarian bersama TDM.
Baca juga: