Negeri

1 daripada 4 nelayan dikhuatiri lemas ditemui maut di Tanjung Segenting

Seorang daripada empat nelayan tempatan yang dikhuatiri lemas telah ditemui selepas memasuki hari kedua operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dalam insiden bot nelayan tenggelam di Tanjung Segenting, Minyak Beku, Batu Pahat Johor, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus menyatakan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) telah memperluaskan sektor pencarian bagi Op Carilamat hari kedua merangkumi keluasan 65 batu nautika persegi di laut dan 73 batu nautika persegi oleh pesawat udara.

“Pada pukul 7 petang tadi, seorang mangsa bernama Chiah Kah Chong yang berumur 53 tahun telah ditemui oleh bot nelayan berhampiran dan diserahkan kepada Bot Penggalang 30.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Operasi yang dimulakan seawal 7.00 pagi melibatkan enam aset di laut dan dua aset di udara daripada Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk tujuan pencarian.

Terdahulu, empat nelayan lelaki tempatan dilaporkan hilang dan seorang mangsa berjaya diselamatkan apabila bot mereka tenggelam akibat cuaca buruk.

Dalam pada itu, Mohd Haniff menekankan kepentingan masyarakat untuk peka terhadap faktor ombak besar dan keadaan cuaca sebelum melakukan aktiviti di laut.

Orang awam yang mempunyai maklumat atau penemuan mangsa boleh menghubungi hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau talian bantuan kecemasan, MERS 999.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close