Negeri

Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Bakap dinaik taraf

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad telah merasmikan Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Bakap yang baru dinaik taraf dengan mengoptimumkan penggunaan ruang sebaiknya pada Sabtu.

Difahamkan sebelum ini ruang terbaharu tersebut digunakan oleh Jabatan Pesakit Luar, yang kini telah dipindahkan ke Klinik Kesihatan Sungai Bakap dan projek menaik taraf ini berjaya mengatasi isu ruang yang terhad di Unit Kecemasan.

Dalam lawatan rasmi tersebut, Dzulkefly diberikan taklimat mengenai operasi harian, isu-isu perkhidmatan, serta perancangan pembangunan hospital serta taklimat tentang perkembangan semasa perkhidmatan kesihatan di daerah Seberang Perai Selatan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menaik taraf bangunan kuarters hospital untuk dijadikan Klinik Pergigian Sungai Bakap yang kini beroperasi di tingkat dua hospital ini.

“Kerja-kerja naik taraf yang bermula sejak 26 Mac dijangka siap pada 26 Ogos depan untuk memudahkan akses kepada warga emas, ibu mengandung, dan orang kurang upaya, serta memperluas perkhidmatan pakar pergigian,” kata kenyataan yang dikeluarkan KKM.

KKM turut menyatakan dedikasi dalam memastikan perancangan pembangunan fasiliti kesihatan dilaksanakan secara holistik dan lestari.

Dzulkefly turut menekankan bahawa usaha menangani isu fasiliti yang tidak mencukupi, ketidakpadanan sumber rentas pelbagai peringkat perkhidmatan, dan pembiayaan penjagaan kesihatan yang tidak mampan akan terus menjadi keutamaannya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Gooi Zi Sen; Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Rashidi Zinol; Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Kerajaan Negeri Pulau Pinang, H’ng Mooi Lye dan Ahli Dewan Negara, Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam.

Selain itu, turut hadir bersama ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr Fazilah Shaik Allaudin.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close