Nasional

Anwar ajak orang ramai hadiri pementasan teater Hadji Murat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai untuk menghadiri pementasan teater Hadji Murat yang akan dipentaskan pada 26 hingga 29 Jun di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Beliau menyatakan bahawa teater tersebut adalah berdasarkan dari novella penting dan juga yang terakhir hasil karya sasterawan dan novelis ulung Rusia, Leo Tolstoy.

Anwar turut berkongsi pengalaman beliau ketika mengajar di Amerika Syarikat dengan membawa kida novella Hadji Murat tersebut untuk mengisahkan penaklukan empayar Rusia ke atas warga Muslim di wilayah Dagestan, Kaukasus Utara.

“Hadji Murat adalah sosok yang dekat dan paling kanan kepada Imam Shamil, ketua pejuang dan watak penting di tampuk kepemimpinan wilayah tersebut.

“Mereka berjuang seiring melawan kerakusan empayar Rusia yang dikepalai Tsar Nicholas I, dan berlakunya pertembungan antara pejuang dan penjajah kerana ingin membebaskan keluarga tercinta,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, watak Hadji Murat ternyata dapat memberi kesan yang mendalam kerana ia menekankan betapa perang dan kekuasaan yang ganas hanya melahirkan ramai watak yang jahat dan khianat.

Anwar turut memuji karya Tolstoy tersebut menyatakan karyawan tersebut berjaya mewujudkan rasa dan sikap yang simpatetik melalui karyanya itu, apalagi kepada seorang pejuang dan wira umat Islam yakni Hadji Murat, terutamanya di saat dunia dirundung berat akan kezaliman dan budaya politik pemerasan.

Keagungan karya tersebut juga telah menerima ulasan daripada pengkritik kesusasteraan Amerika, Harold Bloom yang menyatakan karya tersebut merupakan fiksyen yang terbaik di dunia, atau sekurang-kurangnya yang terbaik yang pernah dibaca olehnya.

Disebabkan komentar tersebut, Hadji Murat telah berjaya menyaingi karya-karya Tolstoy yang lain termasuk Anna Karenina dan War and Peace.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close