Nasional

Fadillah hadiri LCAW 2024, ketuai delegasi Malaysia ke UK

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan menghadiri London Climate Action Week 2024 (LCAW 2024) dan menyampaikan ucaptama pada sesi High-Level Dialogue on Coal Phase Out pada Isnin.

Fadillah yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air akan mengetuai delegasi Malaysia ke United Kingdom untuk sesi lawatan rasmi bermula 23 hingga 27 Jun 2024 untuk memenuhi undangan kerajaan negara berkenaan.

“Penyertaan ini cukup penting bagi mengetengahkan perspektif Malaysia dan juga negara sedang membangun dalam usaha peralihan tenaga,” katanya dalam kenyataan.

Fadillah turut menekankan pendirian Malaysia agar peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara adil dan saksama, termasuk dalam aspek coal phasing-out, penting untuk diketengahkan di forum antarabangsa seperti London Climate Week.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pentingnya pendirian serta pelan tindakan negara untuk mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik.

“Pelan tersebut boleh dilaksanakan melalui peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu kepada sekurang-kurangnya 70 peratus menjelang tahun 2050.

“Komitmen untuk tidak membangunkan loji jana kuasa arang batu turut boleh diketengahkan agar ia dijadikan acuan peralihan tenaga yang adil dan saksama bagi negara-negara sedang membangun,” ujarnya.

Selain menyampaikan ucaptama, Fadillah dan delegasi akan mengadakan lawatan teknikal ke projek loji jana kuasa angin Vantage RE PLC yang merupakan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan International Hydroelectric Association (IHA) bagi menerokai bidang usaha sama bersama untuk memanfaatkan potensi pembangunan hidroelektrik di Malaysia sebagai sumber bekalan elektrik baseload, terutamanya bagi pembangunan hidroelektrik di Sarawak.

Fadillah turut menzahirkan harapan agar hasil lawatan ini akan membolehkan usaha untuk menanda aras amalan terbaik kendalian perkhidmatan air dan pembentungan di United Kingdom dengan amalan di Malaysia.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close