JenayahNegeri

JIM Selangor gempur perumahan koloni warga asing di Klang

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor gempur kawasan perumahan pangsa di Jalan Sultan Abdul Samad di Bandar Sultan Suleiman, Klang yang merupakan kawasan koloni warga asing pada Ahad.

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya telah menerima pelbagai aduan mengenai kawasan perumahan yang dipenuhi warga asing tersebut.

“Selain menerima aduan penduduk sekitar, penempatan besar-besaran tersebut turut didedahkan menerusi aplikasi TikTok yang turut menggesa penggerakan operasi ini.

“Melalui risikan awal JIM turut mendapati kawasan perumahan ini sentiasa ‘meriah’ khususnya pada hari minggu,” katanya menerusi sidang akhbar selepas operasi tersebut dijalankan.

Dalam operasi tersebut, seramai 1,700 warga asing telah terlibat yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Myanmar.

Khairrul berkata, hasil siasatan awal mendapati beberapa kesalahan telah dilakukan oleh warga asing tersebut termasuk tinggal lebih masa, tidak mematuhi syarat sah permit dan pelbagai kesalahan lain.

Dalam pada itu, segelintir warga asing yang berada di kawasan perumahan tersebut cuba untuk melarikan diri selepas mendapati pihak berkuasa telah mengepung kawasan itu.

“Terdapat juga warga asing yang cuba menyembunyikan diri bawah kenderaan milik penduduk di kawasan rumah pangsa berkenaan dan ada segelintir warga asing yang berdegil serta enggan membuka pintu ketika diarahkan,” tambahnya.

Difahamkan juga bahawa kebanyakan warga asing yang tinggal di rumah pangsa tersebut bekerja di kilang-kilang yang berdekatan dengan kawasan perumahan tersebut.

Kesemua mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa akan diperiksa untuk tindakan selanjutnya.

Khairrul turut menegaskan bahawa operasi sebegini akan diteruskan secara lebih kerap lagi untuk memastikan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sentiasa dipatuhi.

Operasi tersebut melibatkan seramai 298 anggota dan pegawai daripada JIM Selangor termasuk bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan agensi-agensi lain.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close