Nasional

Jualan runcit diesel menurun sebanyak 30 peratus pada minggu pertama

Jualan runcit diesel di stesen minyak menurun hampir lapan juta liter sehari atau 30 peratus pada minggu pertama selepas pengumuman penetapan semula harga bahan bakar itu berbanding minggu sebelumnya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jualan diesel komersial pula meningkat sebanyak empat juta liter sehari dalam tempoh sama.

Ini bermakna ujarnya, sebahagian penggunaan diesel runcit bersubsidi selama ini telah digunakan oleh sektor industri yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran.

“Ini bermakna, trend peningkatan jualan diesel komersial menggambarkan tanda positif bahawa ketirisan diesel bersubsidi telah berkurang.

“Antara maklumat yang diterima daripada salah satu syarikat minyak jualan diesel di sempadan, menunjukkan penurunan 40 peratus dan mengesahkan sebelum ini memang wujud aktiviti penyeludupan diesel ke negara sempadan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penerangan mengenai pelaksanan penyasaran semula subsidi diesel ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, menurut Amir Hamzah, badan penguat kuasa giat bekerjasama dan mengatur gerak pelbagai operasi bagi membendung aktiviti penyeludupan.

Selain itu katanya, tindakan berkenaan bagi membanteras unsur menjejaskan kestabilan bekalan barangan dan perkhidmatan serta mengekang elemen pencatutan harga di pasaran.

Pasukan petugas melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Ops Tiris 3.0 yang berlangsung pada 1 Januari hingga 22 Jun lalu merekodkan sebanyak 570 kes melibatkan sitaan minyak diesel sebanyak lebih 5.1 juta liter dengan anggaran nilai hampir RM12 juta.

“Nilai rampasan aset dan peralatan berjumlah RM46 juta serta 275 tangkapan telah dilaksanakan ke atas individu terlibat,” jelasnya. -Sinar Harian

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close