Nasional

KPDN tawar kelulusan serta-merta permohonan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan kelulusan serta merta bagi permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menyarankan syarikat yang layak agar segera membuat permohonan tersebut bagi memudahkan mereka mendapatkan ‘fleet card’.

“Permohonan tersebut boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat-syarikat minyak pilihan melalui sistem sama.

“Kelulusan yang diperoleh sehingga 30 Jun 2024 membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

SKDS meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan.

Proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sehingga kini, sebanyak 226,957 kenderaan pengangkutan awam dan barangan melibatkan 75,541 syarikat telah diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS.

Sementara itu Armizan mengingatkan semua syarikat agar tidak menyalahgunakan ‘fleet card’ bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

Tambahnya, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik kelulusan ‘fleet card’ kenderaan terbabit jika kemudahan itu didapati disalahgunakan.

“Kementerian turut menegaskan agar semua peniaga terutama mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close