Jenayah

MCMC siasat, ambil tindakan terhadap pembuli siber kanak-kanak

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan berkenaan pemilik akaun Facebook, Adeline Chang dipercayai memuat naik gambar seorang kanak-kanak berserta kapsyen bersifat jelik.

Menerusi kenyataan MCMC, pihaknya dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merakam percakapan seorang pengguna media sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Jumaat.

“MCMC telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada suspek mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai miliknya yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan telah disita bagi membantu siasatan.

“Dalam pada itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali dan denda lanjutan RM1,000 setiap hari kesalahan diteruskan, jika sabit kesalahan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam masa sama, seksyen tersebut melarang penghantaran komunikasi melalui kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi, antaranya yang bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau menggangu orang lain.

“MCMC mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutamanya kandungan yang melibatkan kanak-kanak.

“Oleh itu, MCMC turut komited untuk meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak selain, memastikan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap kanak-kanak,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close