NasionalNegeri

Seorang lelaki hilang dalam kejadian bot terbalik di Lebuh Klang

Seorang lelaki hilang manakala seorang lagi terselamat dalam kejadian bot terbalik selepas dipukul ombak akibat cuaca buruk di kedudukan 1.8 batu nautika barat Pantai Acheh Pulau Indah, Selangor pada Ahad.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia melaporkan kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 8.00 pagi yang melibatkan dua nelayan keluar ke laut dengan menaiki bot gentian kaca tanpa memakai sebarang jaket keselamatan.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, mangsa Arnizam Ibrahim, 43 tahun sempat berpaut pada bot sebelum berjaya diselamatkan oleh bot pilot pelabuhan (TEGUH 2).

“Manakala sepupu beliau Mohd Fazil Paijan, 36 tahun dilaporkan masih hilang.

“Sebaik sahaja pihak kami menerima laporan kehilangan mangsa, Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sejak hari pertama pada pukul 5.00 petang semalam.

“Kami terpaksa menangguh operasi pencarian sehingga pukul 7.30 malam akibat cuaca yang buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian tersebut.

“Maritim Negeri Selangor juga telah membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha OP CARILAMAT di sektor pencarian,” jelasnya menerusi satu kenyataan di Facebook.

OP CARILAMAT dilaporkan menyambung pencarian di hari kedua pada hari ini, bermula seawal pukul 7.00 pagi tadi.

Penambahan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi bagi membantu operasi pencarian terbabit.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close