Nasional

Anwar gesa Kementerian Digital dan MOF tangguh, selaras semula perolehan digital yang belum dianugerahkan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Digital menangguh serta menyelaras semula semua perolehan berkaitan digital yang belum dianugerahkan ketika Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) pada petang Isnin.

Anwar turut menyatakan permintaan itu bagi memastikan semua perolehan yang dirancang adalah selaras dengan aspirasi pendigitalan Kerajaan dan teknologi digital semasa agar tiada pertindihan inisiatif, projek serta pembaziran sumber berlaku.

“Kerajaan juga bertekad keras untuk meningkatkan keluasan capaian internet bagi membuka ruang kepada semua lapisan rakyat memanfaatkan teknologi terkini dalam aktiviti harian mereka khususnya dalam sektor ekonomi digital, sosial dan pendidikan.

“Justeru untuk permulaan, saya telah mengarahkan semua kementerian terkait agar memastikan fasiliti internet tersedia di semua Institut Pengajian Tinggi Awam, sekolah rendah, menengah dan mana-mana institut di bawah seliaan kerajaan.

“Mesyuarat turut bersetuju dengan Pelan Pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN), di samping memberi keutamaan kepada pelaksanaan 50 inisiatif yang lebih berfokus kepada landskap digital semasa,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Jelas Anwar, pelaksanaan tersebut penting bagi merealisasikan sasaran sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sebanyak 25.5 peratus pada 2025, selain memastikan Malaysia terus dipacu secara digital, berpendapatan tinggi dan menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Kerajaan Malaysia turut komited dalam menempatkan Malaysia sebagai hab ekonomi digital serantau dan memanfaatkan kemajuan teknologi terkini.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close