Nasional

Battersea Power Station beri nafas baharu kepada mercu tanda di London

Battersea Power Station yang dibangunkan semula oleh syarikat-syarikat di Malaysia telah memberi nafas baharu kepada antara mercu tanda terpenting di London, United Kingdom.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan perkara demikian ketika melawat projek tersebut selepas menyertai ‘High-Level Dialogue to Spur Action on Coal Phase-Out‘ atas jemputan kerajaan United Kingdom.

Penyertaan tersebut adalah bersamaan dengan London Climate Action Week 2024 (LCAW 2024).

“Projek tersebut dibangunkan semula oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Sime Darby Property Bhd, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Ia telah memberi nafas baharu kepada antara mercu tanda terpenting di London, menjadi destinasi pelbagai kegunaan dengan lebih 100 kedai, restoran, kafe, pusat riadah 254 pangsapuri dan 565,000 persegi ruang pejabat,” katanya dalam kenyataan.

Projek tersebut merupakan bekas stesen jana kuasa arang batu di Sungai Thames, yang beroperasi dari 1933 hingga 1983 dan menjana sehingga satu perlima tenaga di London, termasuk membekalkan tenaga elektrik ke bangunan berprestij seperti Istana Buckingham dan Dewan Parlimen.

Dalam pada itu, Fadillah turut memaklumkan Battersea Power Station dianugerahkan Pemenang Emas Dunia untuk FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2024 baru-baru ini.

“Awal tahun lalu, ia dinamakan sebagai salah satu daripada 20 ‘Tempat Budaya Terbaik’ dalam siri National Geographic’s Best of the World 2024 dan memenangi Anugerah Pemuliharaan RIBA London 2024.

“Battersea Power Station turut dianugerahkan Emas Dunia dalam kategori Pelan Induk di FIABCI World Prix d’Excellence Awards 2021 dan Perak Dunia dalam Kategori Kediaman Mid-Rise untuk fasa pertama Circus West Village pada 2019,” ujarnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close