Negeri

JIM Perak tahan 33 lelaki Bangladesh melalui Ops Serkap dan Minyak sekitar Manjung

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak menahan 33 orang lelaki warga Bangladesh atas beberapa kesalahan yang dilakukan melalui Ops Serkap dan Minyak di sekitar daerah Manjung pada Isnin.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh JIM Perak, serbuan tersebut dijalankan ke atas 35 orang warga asing di tiga lokasi berasingan.

“Kesemua warga Bangladesh yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun telah ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh sah pas,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, penyiasatan turut menjurus kepada Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2002 kerana mereka disyaki telah dieksploitasi oleh majikan mereka.

Operasi tersebut melibatkan seramai 18 orang pegawai Imigresen melalui Bahagian Penguatkuasa JIM.

Dalam pada itu, JIM Negeri Perak turut menyeru masyarakat untuk membuat laporan sekiranya mempunyai maklumat mengenai salah laku berkaitan kesalahan pendatang asing dalam negara.

Ia bertujuan untuk membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara ini.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close