Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti penangkapan ikan di 1.1 dan 1.2 batu nautika Timur Perlabuhan Kunak, Lahad Datu, Sabah pada Selasa.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Maritim Mohd Firdos Ayob melaporkan menahan individu berkenaan kira-kira pukul 10.24 dan 10.40 pagi Selasa yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan Zon Maritim Lahad Datu.
“Kapal ronda Maritim Malaysia dalam OP SEJAHTERA telah mengesan dua buah bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat berhampiran kawasan daratan kira-kira 1.1 dan 1.2 batu nautika Timur Perlabuhan Kunak.
“Pemeriksaan selanjutnya ke atas bot terbabit telah mendapati lima lelaki terdiri daripada empat orang warganegara Malaysia dan seorang warganegara Filipina berumur 22 hingga 51 tahun mendapati melanggar syarat sah lesen dengan menarik pukat pada jarak 1.1 dan 1.2 batu nautika dari daratan.
“Kesemua kru, bot serta muatan hasil laut dilaporkan ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 ,” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Bot nelayan, pukat dan muatan hasil laut dipercayai telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM180,000.
Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.
Baca juga :