Pelakon Kamal Bakar meninggal dunia, hidap kanser paru-paru tahap 4

Pelakon veteran, Kamal Bakar, 62, meninggal dunia pada jam 1 pagi Selasa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Melaka.

Berita duka itu dimaklumkan oleh anak sulungnya, Hanis Kamal, 35.

Hanis berkata, bapanya akan diuruskan di Hospital Melaka terlebih dahulu sebelum dibawa ke Masjid Bukit Baru, Melaka.

“Sekarang kami sekeluarga sedang uruskan jenazah arwah untuk dibawa pulang ke rumah. Selepas itu, dari rumah kami akan bawa ke Masjid Bukit Baru untuk urusan mandi dan kafan.

“Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru, Melaka,” katanya kepada BH Online.

Sabtu lalu, Hanis memaklumkan, bapanya dalam keadaan nazak selepas dua minggu dirawat di ICU, Hospital Melaka akibat kanser paru-paru tahap empat.

Terdahulu, pada 3 Jun lalu, Kamal dihantar bagi mendapatkan rawatan di Hospital Melaka berikutan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Selepas ke ICU Hospital Melaka dan mendapatkan rawatan, Kamal disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat dan ditidurkan pada 17 Jun berikutan komplikasi serta kurang oksigen.

Kamal meninggalkan seorang balu, Sarina Shariff, 56, yang dikahwini pada 1988 termasuk lima cahaya mata.

Kamal memulakan kerjaya lakonan sejak era 1970-an dengan membintangi banyak drama dan filem seperti Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak, Suami Aku Ustaz, Pendekar dan Ratu Ten Pin.

Anda Mungkin Berminat