Nasional

Rangka ditemui disyaki terkait kes kehilangan Hafiz Fauzan

Polis mengesahkan penemuan rangka manusia oleh orang awam di kawasan semak di dalam kebun durian di tepi Jalan Yong Peng-Muar pada pagi hari Isnin.

Namun, rangka tersebut masih tidak disahkan sama ada milik remaja yang hilang, Hafiz Fauzan Abdul Halid yang dilaporkan hilang sejak sebulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan pengesahan rasmi identiti rangka tulang yang dijumpai akan disahkan setelah laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) diperoleh dari Jabatan Kimia Malaysia.

“Rangka mangsa yang dijumpai dipercayai meninggal dunia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya.

“Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke tepi jalan dan melanggar tiang elektrik berkenaan hingga menyebabkan mangsa terhumban di kawasan semak yang agak curam,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar turut menyatakan dokumen dan barangan yang dijumpai di tempat kejadian telah dicamkan oleh keluarga sebagai milik Hafiz Fauzan.

Namun, kes masih sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan pihak polis turut mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah yang mengakibatkan kematian mangsa.

Terdahulu, rangka manusia ditemui bersama sebuah motosikal hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti mana dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Turut ditemui jaket dan juga topi keledar dipercayai digunakan mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) ketika keluar rumah pada malam 25 Mei lalu, untuk menonton bola sepak bersama rakannya di Parit Ju, Tongkang Pechah.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close