Prestasi ringgit dijangka lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku akhir 2024, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.
Menurutnya, berbanding beberapa bulan lalu, kedudukan ringgit kini dalam trek yang betul.
Malaysia terus merekodkan kejayaan dalam menarik pelaburan asing dengan pelaburan diluluskan melonjak pada suku pertama tahun ini.
“Perkembangan ini menunjukkan pelabur semakin yakin terhadap perkembangan ekonomi negara dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan. Aliran masuk dana dan pelaburan asing ini dijangka berterusan dan seterusnya menyokong pengukuhan nilai ringgit.
“Dalam jangka masa panjang, kerajaan kekal komited dan focus dalam usaha pelaksanaan polisi-polisi pembaharuan struktur dan pengukuhan fiskal.
“Hal ini dijangka dapat meningkatkan daya tarikan jangka masa panjang Malaysia kepada pelabur asing yang seterusnya akan menyumbang terhadap pengukuhan nilai ringgit,” katanya.
Jelas beliau, pergerakan ringgit dipengaruhi oleh pelbagai faktor global dan domestik yang turut merangkumi harga komoditi, sentimen pasaran kewangan dan unjuran pertumbuhan ekonomi.
Prestasi ringgit yang dialami dalam tempoh terdekat turut didorong oleh perkembangan global, secara khususnya pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Beliau berkata, perbezaan sebanyak 250 mata antara kadar faedah Malaysia dan AS juga mendorong pelabur untuk mengalihkan modal keluar daripada pasaran domestik ke pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi.
“Ekonomi AS yang kukuh dan tekanan inflasi yang berterusan pula telah mengukuhkan jangkaan para pelabur bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi di paras kini untuk tempoh yang lebih panjang.
“Dinamik ini secara langsung memberikan tekanan kepada prestasi ringgit,” tambahnya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang) semasa pertanyaan lisan Dewan Rakyat pada Rabu.
Jelas Hui Ying, bagi menguruskan tekanan jangka masa pendek terhadap ringgit, kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah terselaras untuk menggalakkan aliran yang lebih konsisten ke dalam pasaran kewangan domestik.
Langkah-langkah tersebut termasuk menggalakkan penghantaran balik dan pertukaran pendapatan pelaburan asing oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLICs) yang telah membuahkan hasil terhadap prestasi ringgit.
Jelasnya, prestasi nilai ringgit mengatasi kesemua mata wang negara serantau dan merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh (+1.4%) berbanding dolar AS sejak 26 Februari 2024.
Mata wang serantau seperti rupee India (-0.8%), dolar Singapura (-0.8%), renminbi China (-0.9%), baht Thailand (-1.8%), dolar Taiwan (-2.4%), won Korea (-3.9%), peso Filipina (-4.9%), rupiah Indonesia (-5.1%) dan yen Jepun (-5.3%) telah mengalami penyusutan nilai berbanding dolar AS.
Baca juga: