Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa murka dan dukacita dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menjatuhkan denda terhadap pasukan Selangor FC.
Sultan Sharafudin dalam kenyataan bertitah, keputusan tersebut tidak masuk akal dan amat berlebihan memandangkan kemenangan telah pun diberikan kepada pasukan lawan.
Baginda turut menganggap keputusan tersebut tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan, dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku.
“Beta juga amat pelik kerana MFL dan FAM tidak menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan terhadap pihak-pihak yang teraniaya dalam isu ini.
“Harus diingat, apa yang berlaku ini bukan sahaja akan mencemar kredibiliti sukan bola sepak di negara ini, malah boleh membunuh semangat dan hala tuju pasukan Selangor FC,” titah baginda dalam kenyataan pada Rabu.

Sultan Sharafudin menyatakan kekecewaan baginda terhadap keputusan tersebut kerana telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968.
“Beta telah terlibat dalam arena bola sepak tempatan sejak tahun 1968 semasa zaman Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) diterajui oleh Datuk Seri Harun Idris sehingga beta bersara pada tahun 1990, dan dalam tempoh itu belum pernah Beta saksikan keadaan seperti sekarang.
“Sukan yang sepatutnya menjadi platform perpaduan antara berbilang kaum dan rakyat, kini telah dicemari dengan keganasan dan lebih teruk lagi, MFL dan FAM langsung tidak serius bersuara dan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu mengenai aspek keganasan dan kezaliman yang berlaku terhadap pemain-pemain,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan kepada MFL untuk membuat keputusan dengan lebih berhati-hati.
“Tindakan-tindakan melampau MFL ini langsung tidak melambangkan semangat ini dan hanya akan merosakkan imej industri bola sepak tempatan serta sokongan orang ramai terhadap sukan yang kita cintai ini,” titah Sultan Sharifuddin.
Baca juga: