Global

Kuasa Barat talam dua muka, depan kamera cakap lain tapi belakang tabir sokong Israel – Erdogan

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berusaha meluaskan konflik di Gaza ke Lubnan dalam satu langkah.

Erdogan berkata, rancangan dengan persetujuan barat itu akan membawa kepada bencana besar.

“Nampaknya Israel yang memusnahkan Gaza, kini memusatkan perhatiannya ke Lubnan.

“Kami melihat walaupun kuasa Barat bercakap berbeza di hadapan kamera, di belakang tabir mereka menepuk belakang Israel dan menyokongnya.

“Ia amat teruk dan menyedihkan bahawa kerajaan yang bercakap tentang kebebasan, hak asasi manusia dan keadilan adalah tawanan orang yang sakit mental seperti (Perdana Menteri Israel Benjamin) Netanyahu,” katanya.

Dalam ucapan kepada Ahli Parlimen dari parti pemerintahnya, Erdogan berkata, Turkiye akan bersama Lubnan dan menyeru negara lain di rantau itu untuk menunjukkan solidariti dengan negara Asia Barat.

Pada Rabu, serangan Israel terhadap sebuah bangunan di Lubnan menyebabkan lima orang awam mengalami kecederaan.

Menurut agensi berita nasional Lubnan, Israel telah melakukan kira-kira 10 serangan di kawasan sempadan.

“Serangan Israel memusnahkan bangunan di Nabatiyeh sekitar pada pukul 10 malam.

“Lima penduduk Lubnan yang berada di sekitar bangunan itu mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital,” menurut agensi berita tersebut.

Sementara Hizbullah mendakwa turut menyerang pasukan tentera Israel di wilayah sempadan.

Kira-kira 481 orang maut di Lubnan akibat konflik Israel-Hizbullah sejak 7 Oktober lalu, termasuk 94 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Related Articles

Check Also
Close