Nasional

MCMC komited pastikan persekitaran dalam talian selamat dan selesa – Teo Nie Ching

Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sentiasa komited dalam memastikan persekitaran dalam talian selamat dan selesa untuk semua pengguna internet.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, MCMC tegas melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan dalam talian yang dikenal pasti telah melanggar peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

Jelasnya, akta tersebut membawa maksud sekiranya kandungan tersebut bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik, tindakan yang diambil adalah berdasarkan pemantauan proaktif serta aduan yang diterima daripada orang awam.

“Dari 1 Januari sehingga 1 Jun 2024, tindakan penguatkuasaan berbentuk sekatan laman sesawang telah dilaksanakan oleh MCMC ke atas 549 laman sesawang bersifat lucah dan juga terhadap satu laman sesawang bersifat sumbang.

“Selain daripada tindakan sekatan laman sesawang, MCMC turut mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan tindakan penurunan kandungan dengan kerjasama platform media sosial seperti Tumblr, X, Telegram, Facebook, Instagram, WhatsApp, Tik Tok dan lain-lain,” katanya.

Dalam masa sama, sebanyak 308 kandungan yang berunsur lucah dan 29 kandungan media sosial yang berunsur sumbang telah diturunkan oleh penyedia platform berdasarkan permohonan yang telah dilakukan.

“Manakala bagi pengiklanan produk makanan mengelirukan, pengiklanan dan penjualan ubat tidak berdaftar, MCMC bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan penurunan kandungan dan sekatan laman sesawang.

“Kesemua permohonan yang diterima adalah berdasarkan kesalahan di bawah bidang kuasa pihak KKM. Akta yang berkaitan dengan ubat-ubatan adalah Akta Racun 1952, Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, atau Akta Ubat (Iklan & Jualan) 1956,” jelasnya.

Dalam tempoh 1 Januari sehingga 1 Jun 2024, sebanyak 19 laman sesawang telah disekat dan 23 kandungan telah diturunkan berdasarkan permohonan KKM.

Untuk makluman, keputusan untuk menurunkan sesuatu kandungan adalah berdasarkan penelitian terhadap terma dan syarat perkhidmatan serta standard komuniti yang dibangunkan penyedia platform.

Penyedia platform yang berpangkalan di luar negara tidak tertakluk dengan nilai, norma masyarakat dan undang-undang Malaysia serta tidak memahami konteks tempatan dalam kerja penyederhanaan kandungan mereka.

Teo berkata sedemikian bagi menjawab soalan daripada Nordin Ahmad Ismail (PN – Lumut) berkenaan tindakan MCMC tentang video lucah, produk berkaitan seks dan ubat kuat seks di platform media sosial seperti Facebook dan Telegram.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close