Tiga lelaki maut dalam kemalangan di Simpang Renggam

Tiga lelaki maut dalam kemalangan di Jalan Tenggam ke Simpang Renggam, berdekatan Ladang CEP Perdana, Simpang Renggam, Johor pada pukul 11.45 malam hari Khamis.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shoromi Salih melaporkan kemalangan tersebut melibatkan sebuah kereta jenis Proton Wira yang terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan.

“Kesemua empat orang penumpang kenderaan tersebut termasuk pemandu berusia 21 tahun itu tersepit di dalam kenderaan berkenaan.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa namun tiga daripada mangsa termasuk pemandu telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Shoromi memaklumkan seorang mangsa yang selamat mengalami kecederaan parah telah diserahkan kepada pegawai KKM untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, kesemua mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi yang tamat sepenuhnya pada pukul 1.13 pagi itu melibatkan seramai 14 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggan dan BBP Kluang bersama dua buah jentera FRT, kenderaan unit EMRS serta sebuah motosikal unit RIM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat