Zon Maritim Tawau bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) telah berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam dua tangkapan berasingan pada Khamis.
Pengarahnya, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP MARDOF 1/2024 dan OP SEJAHTERA telah berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan tempatan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Merotai pada pukul 11.00 pagi.
“Pemeriksaan ke atas bot yang ditahan mendapati seorang juragan bot berumur 27 tahun melalui akuan mulut tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Manakala, pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati bot tanpa nombor pendaftaran tersebut juga tidak mempunyai lesen bot dan juragan gagal mengemukakan lesen perikanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada hari yang sama, sebuah lagi bot nelayan tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi yang sama di lokasi 5.5 batu nautika tenggara Apas Parit.
Shahrizan berkata, pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menarik pukat itu mendapati seorang juragan lelaki warga Indonesia bersama empat awak-awak juga warga Indonesia masing-masing berumur di antara 45 dan 57 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Namun pemeriksaan mendapati bot tersebut melanggar syarat sah lesen kerana nama juragan tidak didaftarkan di dalam lesen.
“Kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua kru telah ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Perikanan 1965 dan Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.
Oleh itu, kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan hampir RM100 ribu.
Justeru, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
Baca juga: