Nasional

KKM mulakan projek penjagaan kesihatan negara untuk dua dekad akan datang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan sebuah projek bagi memetakan landskap penjagaan kesihatan Malaysia untuk dua dekad akan datang.

Menurut kenyataan dikeluarkan KKM, kolaborasi bersama Kumpulan Bank Dunia, Kajian ‘National Health Demand and Supply’ Fasa 1 telah dilancarkan.

“Perkara tersebut menumpukan kepada analisis komprehensif situasi penjagaan kesihatan di seluruh negara, merangkumi aspek fasiliti kesihatan, peralatan dan sumber manusia.

“Projek ini bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan pengagihan sumber penjagaan kesihatan negara, merangkumi hospital dan klinik sehingga perkhidmatan berkepakaran serta peralatan berteknologi tinggi,” katanya.

Oleh itu, dengan menetapkan standard kebangsaan untuk aset kesihatan yang penting, KKM sedang berusaha untuk menambah baik sistem kesihatan yang lebih seimbang, mampan dan cekap.

“Kajian ini akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga tahun 2045, bagi memastikan Malaysia bersedia untuk memnuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang.

“Perancangan jangka panjang ini amatlah penting dalam peralihan negara ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi,” jelasnya lagi.

Ketika Malaysia memulakan langkah dalam perjalanan transformatif itu, KKM menyeru semua fasiliti kesihatan swasta untuk mengambil bahagian dalam kaji selidik dalam talian sebelum 15 Julai 2024.

Justeru itu, sumbangan semua pihak akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia dan mampu untuk memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang baik.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close