NasionalPolitik

‘Penyasaran subsidi diesel dapat menangkis ketirisan’ – Lee Chean Chung

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mengakui Rang Undang-undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Jun 2024, memainkan peranan penting dalam menangkis ketirisan menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Chean berkata, penguatkuasaan akta tersebut memainkan peranan penting dalam menambah baik dan meningkatkan kecekapan tenaga supaya tidak berlaku pembaziran yang disebabkan oleh pematuhan pengguna industri, komersil dan bangunanyang dijangka akan mencapai penjimatan tenaga sebanyak 25 peratus.

“Sebanyak enam negara di rantau Asia Tenggara telah menguatkuasakan Akta kecekapan tenaga. Malaysia telah ketinggalan sebelum ini, dan sekarang gigih mengejar.

“Kebetulan diesel di negara kita mengalami proses penyasaran subsidi, iaitu mengapungkan harga diesel supaya menghampiri harga sebenar dan menyalurkan selebihnya melalui tunai ataupun ‘fleet card’ kepada pengguna mahupun rantaian logistik.

“Penyasaran subsidi diesel akan dapat menangkis ketirisan kerana statistik terkini menunjukkan selepas 10 Jun 2024, penjualan diesel runcit telah berkurangan sebanyak 27 peratus, ataupun 7.8 juta liter sehari dan dalam masa yang sama diesel merupakan tenaga “kotor” yang akan melepaskan 2.7kg karbon dioksida (CO2) bagi setiap liter diesel yang digunakan.

“Jika harga diesel sengaja ditekan pada tahap yang murah, ramai akan cenderung untuk terus membakar tenaga kotor.

“Oleh yang demikian, meletakkan harga diesel bersamaan dengan harga sedunia bukan sahaja akan menggalakkan penjimatan, tetapi mencetus tenaga baru seperti tenaga suria, angin, hydro, biogas dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Chean turut mengatakan, penyasaran subsidi melalui usaha peralihan tenaga lestari tersebut mampu memberikan landskap yang berbeza kepada pendekatan sosio-ekonomi negara.

Terdahulu, kali terakhir RUU berkenaan dibentangkan adalah pada hujung tahun 2023, ia kemudian ditarik balik ke Dewan Negara dan hanya diluluskan selepas 6 bulan. Perbezaan RUU tersebut adalah ia hanya terpakai kepada semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close