Negeri

Stor penyimpanan tilam di Simpang Ampat musnah dijilat api

Sebuah stor penyimpanan tilam terlibat dalam satu kebakaran bangunan di Jalan Nuri, Taman Nuri, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada malam Khamis.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang memaklumkan menerima panggilan kecemasan sekitar kira-kira pukul 9.56 malam yang melibatkan stor penyimpanan beranggaran keluasan 15×40 kaki.

Menurut laporan Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Awis Kharni Ab. Rahman menyatakan seramai 10 orang Anggota Bomba daripada BBP Sungai Bakap telah digegaskan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan menaiki jentera FRT dan kenderaan Unit EMRS.

“Kebakaran yang berlaku melibatkan stor penyimpanan tilam dengan anggaran keluasan 15×40 kaki persegi telah musnah terbakar kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan.

“Namun daripada kejadian itu, tiada mangsa yang dilaporkan terlibat.

“Kebakaran telah dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.25 malam. Pasukan Bomba turut menjalankan kerja-kerja “overhaul” bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain,” ujarnya.

Operasi dilaporkan tamat sepenuhnya pada pukul 11.32 malam dan diserahkan kepada pegawai penyiasatan kebakaran (FIO), JBPM Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.


Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close