Nasional

Azman nafi punyai hubungan kerja dengan individu yang mengaku sebagai pegawai khasnya

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin menafikan dakwaan fitnah yang sedang berlegar di media sosial yang melibatkan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai khasnya dan menggunakan posisi palsu tersebut untuk keuntungan peribadi.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan beliau, individu berkenaan bukan sahaja mencemarkan nama baik beliau, tetapi juga menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap institusi yang diwakilinya.

“Perkara ini adalah fitnah jahat dan saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan menyalahgunakan nama saya untuk tujuan tidak bertanggungjawab dan penipuan,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Beliau menafikan mempunyai sebarang hubungan kerja bersama individu tersebut dan menegaskan bahawa tiada pelantikan rasmi atau tidak rasmi dibuat.

“Saya menafikan mempunyai sebarang hubungan kerja bersama beliau dan tidak pernah melantik individu ini untuk mewakili saya dalam melakukan apa-apa urusan rasmi atau tidak rasmi,” jelas Azman.

Azman juga menasihatkan mangsa-mangsa penipuan untuk segera membuat aduan kepada pihak polis supaya individu yang terlibat dalam penyamaran dan penipuan dapat diheret ke muka pengadilan.

“Saya menasihatkan kepada mangsa yang telah mengalami kerugian atas penipuan ini untuk segera membuat aduan kepada pihak polis,” tambahnya.

Selain itu, Azman turut menasihati penulis blog, Datuk Zaharin Mohd Yasin supaya mengamalkan sikap ‘tabayyun’ atau melakukan semakan asas kebenaran sesuatu isu sebelum membuat perkongsian di media sosial.

Ia susulan perbuatan Zaharin yang mendedahkan isu demikian di hantaran Facebook miliknya yang turut memetik nama Azman dalam hantaran tersebut.

Dalam usaha melindungi reputasinya, Azman sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan nama beliau.

“Ini adalah langkah tegas yang perlu diambil bagi melindungi reputasi saya dan memastikan perkara sebegini tidak berulang,” ujar beliau.

Beliau juga menyeru agar orang ramai lebih berhati-hati dan sentiasa memeriksa kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayainya untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dan fitnah yang semakin berleluasa di era digital sekarang.

Dengan tindakan tegas yang diambil oleh beliau, diharapkan isu tersebut dapat diselesaikan dengan adil dan individu yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan.

Ia juga menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam menyebarkan maklumat dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah yang tidak berasas.

Baca juga:

Related Articles